Kepada yang bergelar ibu/umi/mak/mama/mummy, Selamat Hari Ibu. Semoga Allah membalas segala jasa-jasa kalian sebagaimana kalian telah berbakti kepada kami sejak kecil... Kepada anak-anak, semoga kita lebih menghargai dan membalas jasa ibu kita serta sentiasa mendoakan mereka...
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a., beliau berkata: 'Seorang lelaki telah datang menemui Rasulullah s.a.w., lalu bertanya: 'Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling berhak saya dampingi dengan baik?' Baginda s.a.w. menjawab: 'Ibumu.' Beliau bertanya lagi: 'Kemudian siapakah pula?' Baginda s.a.w menjawab: 'Ibumu'. Beliau bertanya lagi: 'Kemudian siapakah pula?' Baginda s.a.w. menjawab: 'Ibumu.' Beliau bertanya lagi: 'Kemudian siapakah pula?' Baginda s.a.w. menjawab: 'Kemudian bapamu.' (al-Bukhari, Muslim dan Ibnu Majah)
Diriwayatkan daripada 'Abdullah bin Mas'ud r.a, katanya: "Saya telah bertanya kepada Nabi s.a.w.: "Amalan manakah yang paling disukai oleh Allah?" Baginda s.a.w. menjawab: "Sembahyang dalam waktunya." Beliau bertanya lagi: "Kemudian amalan manakah pula?" Baginda s.a.w. menjawab: "Kemudian berbakti kepada ibu bapa." Beliau bertanya lagi: "Kemudian amalan manakah pula?" Baginda s.a.w. menjawab: "Berjihad di jalan Allah." Beliau berkata lagi: "Baginda s.a.w. telah berbicara kepada saya tentang semua itu. Seandainya saya meminta Baginda s.a.w. menambah lagi, pasti Baginda s.a.w. menambah untuk saya. (Riwayat al-Bukhari)